Friday, April 10, 2009

Ahlan Wa Sahlan...


SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG MULTIMEDIA PENDIDIKAN ISLAM

Blog ini menyentuh tentang penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah menengah.

Semoga laman blog ini memberi manfaat kepada kita semua.

Syukran...

REFLEKSI 1

Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?


Sistem pendidikan di Malaysia yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan memperkembangkan potensi individu pelajar secara bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Seiring dengan keperluan dan kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan, penekanan yang berterusan harus diutamakan bagi mewujudkan guru yang berkualiti, berketrampilan, berhemah tinggi dan berdaya maju. Kesediaan guru memahami, menerima dan melaksanakan perubahan yang berlaku dalam senario pendidikan masa kini adalah prasyarat utama ke arah kecemerlangan profesionalisme perguruan. Guru berkualiti sentiasa berusaha menjana pelbagai aktiviti yang sesuai dan seiring dengan tahap perkembangan minda pelajar. Kesemua elemen positif ini perlu dijalin secara bijaksana bagi memperkasa dunia pendidikan yang penuh dengan cabaran.


Seorang pendidik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti professional untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan mengikut nilai-nilai keguruan. Kualiti profesional seseorang guru merangkumi semangat berdedikasi, peka kepada perubahan, sedar tentang keperluan negara, bersikap positif terhadap pembelajaran, dan mempunyai inovasi dalam tugas. Seseorang guru bertanggungjawab meningkatkan imej profesion keguruan dengan memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi. Dalam hal ini, guru hendaklah sentiasa berazam menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya dalam bidang pendidikan supaya dapat menjalankan tugas mengajar dengan cekap dan sempurna. Ini merupakan salah satu usaha untuk menepati akauntabilitinya terhadap profesionalisme keguruan.


Guru pada masa kini berperanan lebih kompleks dan mencabar. Guru dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan abad ke-21 yang bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Justeru seseorang guru disamping memiliki kemahiran-kemahiran pedagogi, perlu melengkapkan diri dengan perkembangan terkini ICT. Dunia pendidikan pada hari ini tidak dapat membebaskan diri daripada penguasaan dalam bidang ICT dan tiada siapa dapat menafikan kepentingan kemahiran ICT dalam melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan maklumat secara kritis dan kreatif.


Penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia amat penting. Strategi ini telah membuka luas segala pendekatan, saluran dan kemungkinan untuk mempengaruhi proses pembelajaran. Namun demikian, dari satu segi, para pendidik memerlukan dan mengharapkan pelajar-pelajar mereka masa kini mempelajari serta menguasai kemahiran-kemahiran generik yang diperlukan supaya mereka mempunyai tahap literasi komputer yang tinggi. Dari satu segi yang lain, mereka juga ingin melihat pendidikan melalui teknologi komputer menjadi sebahagian atau sepenuhnya bersepadu dalam pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor pengalaman pelajar.


Perlu ditegaskan bahawa dalam persekitaran budaya berpengetahuan dan berkomunikasi yang meningkat ditahap global melepasi sempadan-sempadan negara dan local, ICT merupakan unsur penting yang tidak boleh diketepikan oleh sektor pendidikan di mana-mana negara dalam era pendidikan abad ke-21. Pelajar-pelajar dalam sistem pendidikan yang dapat menguasai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi akan mempunyai kelebihan yang lebih jauh daripada mereka yang tidak mempunyai kemahiran-kemahiran berkenaan. Justeru itu juga Negara dan masyarakat yang dapat menguasainya, sama ada dalam penggunaan untuk aktiviti pengeluaran mahupun dalam aspek penggunaan dalam aktiviti perkhidmatan secara bijak dan berkemahiran tinggi akan terkehadapan untuk menghadapi cabaran globalisasi yang berasakan pengetahuan dan ilmu pada abad akan datang.


Walaupun ICT seringkali dianggap sebagai pengupaya kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan pendidikan tetapi ia memerlukan penguasaan beberapa kemahiran lain seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar dan kemahiran pemudahcaraan bagi memberi makna yang lebih lengkap terhadap penggunaannya. Oleh yang demikian, para pendidik perlu memperlengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tersebut dalam usaha mengintegrasikan ICT dalam pendidikan.


Dunia pendidikan sangat mengharapkan kehadiran media pembelajaran yang bermutu tinggi untuk meningkatkan kulaiti pendidikan. Kehadiran media seperti ini tidak bermakna kehilangan peranan guru sebagai penentu jalan proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, kehadiran media pembelajaran yang berkesan boleh membantu mempertingkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran. Kehadiran teknologi multimedia memberi harapan baru dalam era pendidikan kerana media pembelajaran ini mempunyai keupayaan yang tidak diperoleh dari media lain sebelum ini.


Tugas guru sebagai penyedia bahan-bahan proses pengajaran dan pembelajaran, manakala multimedia interaktif dan peranan ICT adalah untuk meningkatkan keberkesanan persembahan pengajaran dan pembelajaran dan meningkatkan minat para pelajar untuk menggunakan multimedia. Guru-guru harus melihat peranan mereka dalam mengimplementasikan ICT bukan hanya sebagai penyampai maklumat dalam bentuk multimedia tetapi juga menurunkan kuasa kepada murid-murid untuk menghasilkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran sendiri dan meneroka maklumat dengan menggunakan ICT.


Untuk kekal maju dalam pengintegrasian ICT ini, guru perlu ada inisiatif sendiri untuk mempelajari kemahiran-kemahiran mengintegrasikan ICT secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Tahap ilmu dan kemahiran guru itu akan mempengaruhi minat dan keupayaannya untuk merubah amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada dan membawa amalan tersebut ke peringkat yang lebih berkualiti lagi.


Profesion perguruan dialaf baru haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauh manakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan generasi muda yang berfikiran kriitis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan Negara.


REFLEKSI 2

Ramai yang mengatakan guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah kerana mereka belum bersedia. Sekiranya anda ditempatkan di sekolah Bestari, apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah?

Usaha kerajaan mewujudkan sekolah bestari (smart school) merupakan salah satu bukti bahawa kerajaan turut berusaha untuk memperhebatkan lagi penggunaan ICT (Information and Communication Technologies) dalam bidang pendidikan. Sebagaimana yang telah dirancangkan, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah bestari menggunakan teknologi multimedia sebagai medium utama pemyampaiannya. Ini sekaligus mengiktiraf multimedia sebagai bahan bantu mengajar (BBM). Sekolah Bestari merupakan platform terbaik untuk melahirkan generasi yang lebih berdaya maju, kreatif dan juga inovatif. Namun apa yang lebih penting adalah, kewujudan Sekolah Bestari adalah untuk memupuk generasi muda supaya tidak mengadaptasi sistem pembelajaran menghafal, sebaliknya berfikiran kreatif dan kritis bagi menghadapi dunia yang kian berkembang.

Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan dan halangan dalam pelaksanaan ICT disekolah Bestari. Kebanyakan sekolah tersebut kekurangan guru penyelaras ICT yang bertanggungjawab untuk mengendalikan program dan juga kemudahan prasarana sekolah. Guru-guru serta juruteknik yang berkemahiran dalam bidang ICT hanya sedikit ataupun terhad bagi sesebuah sekolah bestari. Oleh itu bilangan guru dan juruteknik yang berkemahiran perlu ditambahkan bagi setiap sekolah dalam usaha memastikan penggunaan ICT berjalan dengan baik dan berkesan.

Di samping itu, didapati masih ramai guru yang tidak pasti akan keupayaan mereka untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Kebanyakan daripada mereka masih berada di tahap ‘perlu belajar’ untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Keupayaan seseorang untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran bukan berlaku secara automatik. Pengetahuan dan kemahiran dalam ICT tidak menjamin pengintergrasiannya dalam kurikulum dan juga pengajaran. Justeru, adalah penting bagi guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran.

Antara langkah-langkah yang akan perlu dilakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah adalah seperti:-

1. Menganjurkan bengkel ICT

Permasalahan yang kerap kali didengari bagi guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah adalah kerana mereka belum bersedia. Ini berikutan kelemahan guru dalam penguasaan pedagogi dan penggunaan ICT sebagai satu dimensi baru dalam pengajaran pembelajaran bagi mencorakkan kualiti budaya belajar yang lebih bermakna. Oleh kerana bidang ICT adalah bidang yang sangat pesat berkembang, input tentang teknologi baru yang mempengaruhi cara penggunaan ICT untuk pengajaran dan pembelajaran hendaklah diperkenalkan dari semasa ke semasa. Guru perlu diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Satu cara yang ideal untuk meningkatkan efikasi guru terhadap penggunaan ICT ialah dengan menyediakan bengkel atau kursus ICT kepada guru. Dengan adanya bengkel kemahiran ICT bagi para guru akan berupaya meningkatkan efikasi guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

2. Membudayakan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dalan pembelajaran

Perancangan jangka panjang untuk ICT hendaklah mengambil kira usaha untuk membudayakan ICT dalam kalangan guru, murid serta pengurus pendidikan. Pembudayaan ICT ini perlu dilihat berlaku dalam bentuk pelbagai aktiviti yang berhubung dengan penggunaan ICT. Penerapan penggunaan aplikasi ICT melalui perkakas yang disediakan memperlihatkan perlaksanaan Sekolah Bestari nyata mencapai objektif dan juga matlamat yang disasarkan. Ini meliputi sistem pengurusan, pendidikan dan juga aktiviti-aktiviti sekolah yang dipacu menggunakan aplikasi dan perkakasan ICT. Secara tidak langsung, budaya memperkasakan ICT dapat diterapkan di kalangan para pelajar, guru-guru sekali gus kepada masyarakat setempat.

Pihak pentadbiran sekolah sendiri perlu bertindak sebagai pemimpin perubahan, penyokong kepada perkembangan staf dan menjadi model pengguna ICT yang bijak kepada warga sekolah. Implementasi ICT di sekolah perlu merupakan satu proses yang kompleks dan memerlukan perhatian yang serius dan kerjasama dari semua pihak. Guru perlu digalakkan mengintegrasikan ICT pada setiap kesempatan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sementara murid digalakkan menggunakannya untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

3. Penggunaan ICT secara optimum

Perancangan jangka panjang untuk ICT hendaklah mengambil kira usaha untuk mengoptimumkan penggunaan ICT dalam kalangan guru, murid serta pihak pentadbir sekolah. Penggunaan ICT secara optimum perlu dilaksanakan dalam pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Oleh yang demikian, setiap kemudahan yang disediakan seperti komputer bimbit dan kemudahan makmal komputer hendaklah dioptimumkan penggunaannya. Jika sekolah mempunyai guru yang boleh dianggap berkemahiran dalam bidang ini, amat wajarlah pihak sekolah mendapatkan perkhidmatannya untuk melakukan latihan dalaman agar guru-guru lain akan turut dapat menjayakan hasrat mengintegrasi dan membudayakan ICT dalam melaksanakan tugas mereka. Pihak sekolah perlu berusaha menyediakan kemudahan ICT yang terbaik untuk guru-guru dan murid-murid agar mereka dapat mengakses maklumat dengan mudah bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

4. Kepentingan ICT dan peredaran zaman

Golongan pendidik harus melihat dari aspek positif mengenai keperluan berinteraksi dengan teknologi terkini bagi membiasakan generasi yang akan datang dengan cara hidup canggih di abad ke – 21 nanti. Penggunaan multimedia secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada guru dan pelajar menggunakan dan memahirkan diri dengan pelbagai teknologi terkini dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran teknologi baru yang akan datang. Terdapat kemungkinan dimana suatu masa nanti pengajaran tradisi yang selama ini hanya menggunakan buku, kapur dan papan hitam akan diambil alih fungsinya oleh computer dan teknologi lain yang setara dengannya.

Penggunaan ICT merupakan satu fenomena yang semakin berkembang dalam aspek kehidupan manusia sama ada secara langsung ataupun tidak. Dunia pendidikan juga tidak terkecuali turut merasa bahang teknologi ini. Oleh itu, semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan terutamanya para guru perlu bergerak seiring dengan arus perkembangan teknologi tersebut dalam usaha memastikan sistem pendidikan yang dilaksanakan tidak ketinggalan, seterusnya dapat berkembang maju seiring dengan keperluan masyarakat semasa.

5. Memberi info tentang kelebihan dan kekuatan penggunaan ICT

Untuk mencapai hasrat penggunaan ICT secara menyeluruh dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru harus diyakinkan bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT. Penggunaan ICT dalam bidang pendidikan dapat meringankan beban serta kekangan yang sedia wujud dalam pembelajaran tradisi yang sebelum ini terhad kepada penggunaan buku, kapur dan papan hitam.

Dengan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penggunaan komputer adalah menumpu kepada cara dan strategi persembahan maklumat yang digunakan bagi mewujudkan pembelajaran yang berkesan. Teks isi pelajaran yang panjang boleh diringkaskan atau dipersembahkan semula menggunakan media-media yang lebih menarik serta mampu merangsang minda dan menambah kefahaman pelajar. Soalan-soalan latihan turut dimuatkan selepas pengajaran setiap tajuk agar pelajar dapat menilai kefahaman tahap mereka, di samping memperkukuhkan pembelajaran. Peranan guru pula masih kekal kerana tidak mungkin teknologi boleh menggantikan peranan yang dimainkan oleh guru sepenuhnya. Ia hanya bertindak sebagai bahan bantu mengajar bagi menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna.

6. Perlu inisiatif sendiri untuk pelajari ICT

Untuk terus kekal maju dalam pengintegrasian ICT ini, guru perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mempelajari kemahiran-kemahiran mengintegrasikan ICT secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Tahap ilmu dan kemahiran guru itu akan mempengaruhi minat dan keupayaannya untuk merubah amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada dan membawa amalan tersebut ke peringkat yang lebih berkualiti lagi

Guru perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan pengurusan pembelajaran bestari. Antara kemahiran yang perlu dimiliki oleh seorang guru ialah dapat membina atau membangunkan perisisan pendidikan bersifat multimedia dan interaktif untuk kegunaan pengajaran di dalam bilik darjah. Ini kerana teknologi multimedia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri dalam mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran.

REFLEKSI 3

Untuk refleksi seterusnya, berikut adalah soalan-soalan yang perlu dibincangkan bersama. Soalan-soalan ini menuntut anda memikirkan pengalaman yang telah dilalui pada semester ini yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian menggunakan Moodle (ADEC). Soalan-soalan ini adalah amat penting kerana ianya akan membantu anda sebagai seorang guru yang juga akan menggunakan pembelajaran atas talian dengan murid-murid anda suatu hari nanti.


1. Apakah ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada anda membolehkan anda mengawal proses pembelajaran anda secara atas talian?

· Guru perlu mempunyai pengetahuan berkenaan ICT

· Perlu mahir dalam mengendalikan pembelajaran secara atas talian

· Memantau perkembangan pembelajaran pelajar melalui interaksi secara atas talian

· Menyediakan nota ringkas untuk kemudahan pelajar membuat rujukan

· Menyediakan tugasan kepada pelajar sama ada secara individu atau berkumpulan, dan pelajar bebas berinteraksi secara atas talian dengan guru dan juga rakan

· Aktif dalam menyumbang sebarang idea, saranan ataupun respon dalam proses pembelajaran secara atas talian


2. Apakah bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh tutor/pensyarah supaya anda boleh mengawal proses pembelajaran anda atas talian?

  • Menyediakan link-link bersesuaian dengan topik yang dipelajari, sebagai panduan bagi memudahkan pelajar mendapatkan sumber rujukan yang betul. Melalui link-link yang disediakan pelajar dapat merujuk tentang kebenaran sesuatu fakta yang diterima, juga dapat menambahkan pengetahuan sampingan pelajar tentang topik yang dipelajarinya dalam kelas.
  • Menyediakan nota ringkas sebagai rujukan pelajar. Melalui cara ini, mereka dapat mengulangkaji pelajaran pada bila-bila masa dengan mudah.
  • Penyediaan latihan pengukuhan ataupun latih tubi di akhir sesuatu topik pengajaran berupaya meningkatkan pemahaman pelajar mengenai teori sesuatu subjek. Pencapaian pelajar dapat dipantau dengan lebih kerap. Melalui latih tubi pelajar dapat mengenal pasti kelemahan mereka dalam sesuatu topik pembelajaran.
  • Mewujudkan ruang untuk pelajar-pelajar berinteraksi, berbincang dan bertanya sama ada dengan rakan ataupun guru
  • Mengadakan ujian atau penilaian atas talian yang digunakan
  • Menyediakan video, gambar atau pelbagai media lain yang bersesuaian dengan topik yang dipelajari. Sebagai contoh, kaifiyat solat jenazah. Melalui persembahan video pelajar dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana solat jenazah dilakukan, seterusnya dapat mengukuhkan lagi kefahaman pelajar
  • Menyediakan aktiviti sampingan dan santai seperti kuiz, silangkata dan sebagainya yang berkaitan dengan matapelajaran

3. Apakah perkara-perkara yang perlu dibuat oleh seorang guru untuk membantu murid meningkatkan kawalan proses pembelajarannya secara atas talian?

  • Menyediakan link yang bersesuaian dengan sesuatu matapelajaran untuk memudahkan pelajar membuat rujukan atau mencari fakta sampingan
  • Menyediakan nota ringkas sebagai rujukan pelajar
  • Menyediakan ruang untuk pelajar mengemukakan sebarang idea, pendapat dan pertanyaan berkenaan subjek yang dipelajari
  • Sentiasa memantau kegiatan pembelajaran pelajar, melalui interaksi secara atas talian

REFLEKSI 4

Nampaknya kelas kita sudah hampir ke penghujungnya. Saya berharap agar anda sudah mendapat banyak manfaat dan ilmu serta kemahiran dalam masa 9 minggu ini. Anda akan menyerahkan tugasan projek anda tidak lama lagi. Saya ingin mengetahui pendapat anda tentang pengalaman menyiapkan tugasan projek tersebut. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

1. Apakah pendapat/persepsi anda apabila diberitahu bahawa anda dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia?

Apabila dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia, saya berasa susah hati disebabkan belum mahir menggunakan multimedia yang telah dipelajari sewaktu dalam kelas. Walaupun begitu, dengan adanya pengetahuan asas serba sedikit tentang multimedia, menambahkan sedikit keyakinan saya untuk menyiapkan koswer ini. Tambahan lagi dengan tunjuk ajar daripada pensyarah, dan bantuan rakan-rakan sekumpulan yang agak mahir dalam penggunaan multimedia, saya berpeluang menimba serba sedikit pengetahuan dalam menyiapkan tugasan yang dikehendaki.

Walaupun susah, tetapi perasaan teruja dalam melaksanakan tugasan tetap ada. Inilah masanya untuk mempraktikkan pengetahuan multimedia yang telah dipelajari sama ada secara formal ataupun tidak. Tugasan yang diberikan ini pada saya merupakan suatu peluang untuk merasai pengalaman menyiapkan satu koswer. Dengan adanya kerjasama dan sokongan daripada rakan sekumpulan, sedikit sebanyak dapat membantu melancarkan proses penyediaan koswer tersebut. Proses menyiapkan koswer, walaupun sukar untuk melakukannya tetapi menjadi pengalaman yang sangat berguna. Menyediakan satu koswer dengan gabungan pelbagai elemen multimedia menghasilkan suatu bahan pengajaran yang menarik. Di samping menghasilkan satu persembahan pengajaran yang menyeronokkan, akan dapat menarik perhatian pelajar dalam aktiviti pembelajaran mereka.


2. Pada pendapat anda adakah projek ini akan dapat membantu anda ketika anda menjalani praktikum nanti?

Projek ini pada saya merupakan pengalaman yang sangat-sangat membantu ketika menjalani praktikum nanti. Melalui projek ini, saya telah mempelajari serba sedikit bagaimana pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan menarik dan berkesan, dengan bahan bantu mengajar yang pelbagai, dan salah satu daripadanya sudah tentu dengan mengaplikasikan multimedia dalam pengajaran. Selain mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan, penggunaan multimedia dapat menjimatkan masa, mengurangkan bebanan guru, dan seterusnya melahirkan warga sekolah yang berpengetahuan dan berkemahiran seiring dengan peredaran zaman.

3. Untuk makluman anda ketika pembentangan projek nanti, rakan-rakan anda yang lain dikehendaki untuk membuat penilaian terhadap anda berasaskan bintang (memberikan jumlah bintang yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan dan pembentangan yang dilakukan)
Soalannya, sekiranya anda fasilitator/tutor kelas ini, adakah anda akan menukar kaedah penilaian tugasan ini?

Jika YA, jelaskan bagaimana dan mengapa? Jika TIDAK (dan ingin mengekalkan kaedah penilaian menggunakan sistem bintang), mengapa?

Pada pendapat saya, penilaian berasaskan jumlah bintang merupakan penilaian secara umum. Tetapi walaupun umum, kita masih boleh mengklasifikasikan pembentangan projek oleh sesebuah kumpulan adalah terbaik, sederhana, ataupun sebaliknya. Jika saya sebagai tutor kelas, saya tidak akan menukarkan kaedah penilaian tugasan ini. Pada saya penilaian berasaskan bintang adalah penilaian secara keseluruhan, ianya ringkas dan memudahkan pelajar membuat penilaian terhadap pembentangan projek setiap kumpulan.

REFLEKSI 5


Apakah cadangan dan pendapat anda bagi memperbaiki sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini? Adakah ianya perlu diubah? Sekiranya YA kenapa dan bagaimana. Sekiranya TIDAK kenapa?


Pada pendapat saya, sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam pendidikan Islam sudah lengkap, bagus dan tidak perlu diubah. Cuma yang perlu dititikberatkan dan diambil perhatian oleh pensyarah adalah mengenai pengetahuan asas pelajar. Hal ini kerana pengetahuan asas pelajar tentang multimedia pastinya berbeza-beza. Pelajar yang mahir dalam penggunaan multimedia diberikan panduan manakala pelajar yang kurang mahir diberi penekanan dan tunjuk ajar yang lebih.


Saya mencadangkan agar subjek ini diteruskan dan dikemaskini mengikut peredaran teknologi semasa dengan mengambil kira pengetahuan sedia ada pelajar. Secara jujurnya saya kurang mahir dalam mengaplikasikan subjek ini, justeru peringkat pembelajaran dari senang ke sukar perlu digunakan oleh pensyarah agar subjek ini menjadi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan tidak membosankan.