Friday, April 10, 2009

REFLEKSI 1

Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?


Sistem pendidikan di Malaysia yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan memperkembangkan potensi individu pelajar secara bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Seiring dengan keperluan dan kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan, penekanan yang berterusan harus diutamakan bagi mewujudkan guru yang berkualiti, berketrampilan, berhemah tinggi dan berdaya maju. Kesediaan guru memahami, menerima dan melaksanakan perubahan yang berlaku dalam senario pendidikan masa kini adalah prasyarat utama ke arah kecemerlangan profesionalisme perguruan. Guru berkualiti sentiasa berusaha menjana pelbagai aktiviti yang sesuai dan seiring dengan tahap perkembangan minda pelajar. Kesemua elemen positif ini perlu dijalin secara bijaksana bagi memperkasa dunia pendidikan yang penuh dengan cabaran.


Seorang pendidik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti professional untuk menjalankan tugasnya dengan berkesan mengikut nilai-nilai keguruan. Kualiti profesional seseorang guru merangkumi semangat berdedikasi, peka kepada perubahan, sedar tentang keperluan negara, bersikap positif terhadap pembelajaran, dan mempunyai inovasi dalam tugas. Seseorang guru bertanggungjawab meningkatkan imej profesion keguruan dengan memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi. Dalam hal ini, guru hendaklah sentiasa berazam menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahirannya dalam bidang pendidikan supaya dapat menjalankan tugas mengajar dengan cekap dan sempurna. Ini merupakan salah satu usaha untuk menepati akauntabilitinya terhadap profesionalisme keguruan.


Guru pada masa kini berperanan lebih kompleks dan mencabar. Guru dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan abad ke-21 yang bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Justeru seseorang guru disamping memiliki kemahiran-kemahiran pedagogi, perlu melengkapkan diri dengan perkembangan terkini ICT. Dunia pendidikan pada hari ini tidak dapat membebaskan diri daripada penguasaan dalam bidang ICT dan tiada siapa dapat menafikan kepentingan kemahiran ICT dalam melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan maklumat secara kritis dan kreatif.


Penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia amat penting. Strategi ini telah membuka luas segala pendekatan, saluran dan kemungkinan untuk mempengaruhi proses pembelajaran. Namun demikian, dari satu segi, para pendidik memerlukan dan mengharapkan pelajar-pelajar mereka masa kini mempelajari serta menguasai kemahiran-kemahiran generik yang diperlukan supaya mereka mempunyai tahap literasi komputer yang tinggi. Dari satu segi yang lain, mereka juga ingin melihat pendidikan melalui teknologi komputer menjadi sebahagian atau sepenuhnya bersepadu dalam pembangunan kognitif, afektif dan psikomotor pengalaman pelajar.


Perlu ditegaskan bahawa dalam persekitaran budaya berpengetahuan dan berkomunikasi yang meningkat ditahap global melepasi sempadan-sempadan negara dan local, ICT merupakan unsur penting yang tidak boleh diketepikan oleh sektor pendidikan di mana-mana negara dalam era pendidikan abad ke-21. Pelajar-pelajar dalam sistem pendidikan yang dapat menguasai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi akan mempunyai kelebihan yang lebih jauh daripada mereka yang tidak mempunyai kemahiran-kemahiran berkenaan. Justeru itu juga Negara dan masyarakat yang dapat menguasainya, sama ada dalam penggunaan untuk aktiviti pengeluaran mahupun dalam aspek penggunaan dalam aktiviti perkhidmatan secara bijak dan berkemahiran tinggi akan terkehadapan untuk menghadapi cabaran globalisasi yang berasakan pengetahuan dan ilmu pada abad akan datang.


Walaupun ICT seringkali dianggap sebagai pengupaya kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan pendidikan tetapi ia memerlukan penguasaan beberapa kemahiran lain seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar dan kemahiran pemudahcaraan bagi memberi makna yang lebih lengkap terhadap penggunaannya. Oleh yang demikian, para pendidik perlu memperlengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tersebut dalam usaha mengintegrasikan ICT dalam pendidikan.


Dunia pendidikan sangat mengharapkan kehadiran media pembelajaran yang bermutu tinggi untuk meningkatkan kulaiti pendidikan. Kehadiran media seperti ini tidak bermakna kehilangan peranan guru sebagai penentu jalan proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, kehadiran media pembelajaran yang berkesan boleh membantu mempertingkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran. Kehadiran teknologi multimedia memberi harapan baru dalam era pendidikan kerana media pembelajaran ini mempunyai keupayaan yang tidak diperoleh dari media lain sebelum ini.


Tugas guru sebagai penyedia bahan-bahan proses pengajaran dan pembelajaran, manakala multimedia interaktif dan peranan ICT adalah untuk meningkatkan keberkesanan persembahan pengajaran dan pembelajaran dan meningkatkan minat para pelajar untuk menggunakan multimedia. Guru-guru harus melihat peranan mereka dalam mengimplementasikan ICT bukan hanya sebagai penyampai maklumat dalam bentuk multimedia tetapi juga menurunkan kuasa kepada murid-murid untuk menghasilkan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran sendiri dan meneroka maklumat dengan menggunakan ICT.


Untuk kekal maju dalam pengintegrasian ICT ini, guru perlu ada inisiatif sendiri untuk mempelajari kemahiran-kemahiran mengintegrasikan ICT secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Tahap ilmu dan kemahiran guru itu akan mempengaruhi minat dan keupayaannya untuk merubah amalan pengajaran dan pembelajaran sedia ada dan membawa amalan tersebut ke peringkat yang lebih berkualiti lagi.


Profesion perguruan dialaf baru haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauh manakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan generasi muda yang berfikiran kriitis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan Negara.


0 comments:

Post a Comment